Monday, September 3, 2012

Behenti Jika Tak Boh Main Doh

"Inilah masalah pemain, kalau rasa tak nak main, berhenti sajalah"

Demikian amaran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berhubung konflik membabitkan jurulatih skuad Penyu, Peter Butler dengan beberapa pemain pasukan itu ketika ini.

Che Mat turut merujuk kepada 'insiden' terbaru antara Butler dengan penjaga gol Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee yang hampir mencetuskan pergaduhan pada aksi Piala Malaysia Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kelmarin.

Sebelum itu, jurulatih berasal dari England itu mengeluarkan kenyataan mengejutkan untuk menyingkirkan dua pemainnya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari kerana masalah disiplin dan lain-lain kesalahan menjelang perlawanan menentang Kedah di Alor Setar tempoh hari.

Che Mat menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang banyak kerenah sehingga menimbulkan masalah kepada pasukan.

Malah tegasnya lagi, beliau bersedia 'menunjukkan laluan keluar' kepada pemain yang 'bermasalah' untuk tidak lagi menyertai pasukan di bawah naungannya .

"Letaklah mana-mana jurulatih yang bagus sekali pun, kalau ada pemain yang sebegini (bermasalah), ia tetap sama juga, tak jadi apa juga.

"Dalam hal ini, kita tak boleh dengan mudah menyalahkan jurulatih, mentang-mentanglah dia (jurulatih) hanya seorang sedangkan pemain dalam jumlah yang ramai.

"Begitu juga dengan nasib seorang pengadil yang terpaksa mengawal ramai pemain dalam satu-satu perlawanan dan dia (pengadil) sering juga dipersalahkan," jelasnya.

Che Mat seterusnya memohon kerjasama semua pihak terutama para peminat bola sepak tempatan supaya tidak membuat sebarang andaian terhadap konflik antara jurulatih Terengganu dengan anak buahnya.

Ini kerana, katanya, sebarang andaian tanpa asas tepat dikhuatiri menjejaskan komitmen pasukan dalam usaha mengharungi perlawanan seterusnya.

"Biarlah selesai satu persatu, masalah membabitkan Muslim dan Ismail akan kita tentukan nanti, biarlah selesai Piala Malaysia dulu. Terbaru, timbul pula masalah antara jurulatih dengan Sharbinee, ini perkara biasa lah," tambahnya.

Pada perlawanan Terengganu menentang Kedah malam semalam, Butler dan Sharbinee bertikam lidah selepas jurulatih itu bertindak mengeluarkan penjaga gol tersebut yang gagal mengawal gawang sehingga kapten pelawat, Baddrol Bakhtiar menghasilkan jaringan.

Dalam situasi tegang antara mereka berdua, Sharbinee dilihat melemparkan botol minuman ke arah Butler sebelum dapat dileraikan pegawai pasukan.

No comments:

Post a Comment