Thursday, September 6, 2012

Belum Patah Semangat

WALAUPUN berdepan dengan pelbagai kontroversi, ketua jurulatih Terengganu, Peter James Butler masih berharap dapat bersama skuad Penyu itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malah, jurulatih kelahiran England itu mengakui, beliau tidak sesekali patah semangat walaupun skuad kendaliannya sudah boleh mengucapkan selamat tinggal pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Malam kelmarin, Terengganu tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sekali gus menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan mengutip empat mata.

"Saya kecewa dengan masalah-masalah yang berlaku dan sepanjang kerjaya saya, saya tidak pernah mengalami masalah seperti ini," kata Butler ketika ditemui pemberita kelmarin.

Bagaimanapun Butler berkata, beliau amat berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang sentiasa memberi sokongan.

Jelas Butler, jika terus diberi kepercayaan membimbing Terengganu musim depan, beliau yakin dapat membina sebuah pasukan yang kembali disegani di pentas Liga M.

"Saya yakin mampu meletakkan Terengganu menjadi pasukan yang digeruni dan pemain yang menyarung jersi pasukan pasti bangga memakainya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment