Saturday, September 29, 2012

TTeam Mempunyai Jurulatih Merangkap Pengurus

T-TEAM bakal melakarkan sejarah dalam arena bola sepak negara apabila menjadi pasukan perintis melantik seorang jurulatih merangkap pengurus pasukan pada saingan Liga Super musim depan.

Pembaharuan drastik yang dilakukan oleh pasukan kelab Terengganu itu adalah bagi mencontohi sistem pengurusan kelab profesional dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kaedah 'dua dalam satu' itu adalah bagi memastikan pasukan T-Team diurus secara profesional dan calon berkenaan diberi tanggungjawab sepenuhnya tanpa diganggu oleh orang lain seperti sebelum ini.

"Pembaharuan ini, kami yakin pasukan T-Team akan kembali menyerlah pada musim akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah acara Larian Jambatan Sultan Mahmud 2012 yang disempurnakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, hari ini.

Ditanya sama ada bekas jurulatih Terengganu, Peter James Butler, akan mengisi jawatan itu, Ahmad enggan mengulas.

"Itu saya tidak boleh komen, tunggu dan lihat bila sampai masanya pengumuman akan dibuat," katanya.

Kerajaan negeri menjadi penaja utama T-Team dan prestasi pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Yunus Alif mengalami kemerosotan sehingga gagal layak ke suku akhir Piala Malaysia.

T-Team menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tangga kelapan manakala pasukan Terengganu di tempat kelima.

No comments:

Post a Comment