Monday, September 10, 2012

Beberapa Pemain Mungkin Dipanggil Lagi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin memanggil beberapa lagi pemain bola sepak Terengganu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zain berkata, setakat ini lapan individu melibatkan pihak pengurusan dan tiga pemain skuad itu yang telah dipanggil untuk memberi keterangan juga berkemungkinan dipanggil semula, sekiranya perlu.

"Buat masa ini, saya tak boleh beri ulasan lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam proses siasatan. Bagaimanapun sekiranya perlu, kita akan panggil semula mereka dan beberapa pemain lain untuk bantu siasatan.

"Kita jalankan siasatan bukan untuk cari salah tapi untuk cari kebenaran, siasatan sentiasa berjalan dan diteruskan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen negeri di Wisma Persekutuan di sini, semalam.

Katanya, berhubung individu yang dipanggil pada 4 dan 5 September lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan itu, Md. Yusoff berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan.

"Kertas siasatan masih dibuka dan setakat ini, tak ada apa-apa yang baru (perkembangan) tapi ia masih lagi dalam proses siasatan.

''Lapan individu yang dipanggil tempoh hari termasuk tiga pemain, jurulatih, pengurus serta timbalan pengurus pasukan," ujarnya.

Skuad Terengganu mula dilanda 'badai' apabila jurulatihnya, Peter Butler membuat kenyataan mengejutkan untuk menyingkirkan dua pemain tonggak, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari daripada pasukan atas dakwaan masalah disiplin dan lain-lain kesalahan.

Belum lagi kemelut itu reda, tercetus pula ketegangan antara Butler dengan seorang lagi pemain, Sharbinee Allawee apabila jurulatih itu meragui aksi penjaga gol berkenaan ketika Terengganu seri dengan Kedah dan mematikan langkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Konflik itu kemudian mengundang SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan ada pemain skuad itu menjual perlawanan dengan memanggil lapan individu untuk memberi keterangan, minggu lalu.

No comments:

Post a Comment