Sunday, September 9, 2012

Akur

Biarpun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said belum memutuskan masa depan T-Team, pasukan kelab yang dibiayai kerajaan negeri, namun nada bimbang diluahkan pengurus pasukan, Rozi Mamat.

Rozi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berpendapat, jika dibubarkan ia satu kerugiannya kerana pasukan itu boleh dijadikan lubuk untuk melahirkan ramai pemain yang boleh digilap sebelum diangkat ke skuad negeri.

Sekiranya ia dibubarkan, persoalan yang ditimbulkan pengurus itu ia menjejaskan pembentukan pelapis dan ke manakah arah anak-anak Terengganu yang telah dilahirkan hasil pembangunan sukan komited dilaksanakan kerajaan negeri itu akan berbakti?

Untuk itu, beliau meminta kerajaan negeri menimbang kembali jika keputusan terakhir yang dipilih adalah untuk membubarkan pasukan berstatus kelab itu.

"T-Team masih pasukan yang hebat walaupun pemainnya hanya dipilih selepas senarai 25 orang pemain negeri dibuat namun T-Team mampu bermain dengan baik mengatasi pasukan berstatus negeri.

"Tambahan pula ramai juga pemain kita yang telah mencipta nama dalam pasukan negeri seperti Ismail Faruqi dan Fakhrurazzi," katanya kepada Utusan Malaysiaketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau rela pasukan itu dibubar sekiranya kerajaan negeri berpendapat bahawa pasukan itu perlu mengundur diri bagi memberi peluang kepada pasukan negeri untuk lebih maju.

"Saya hormat keputusan Menteri Besar dan kalau mahu bubar T-Team sebab tidak cukup dana mahu tampung pasukan ini selain perlu menumpukan kepada pembangunan pasukan negeri, kita terima dengan hati terbuka.

"Namun kalau disebabkan prestasi yang teruk, saya rasa itu boleh diperbaiki kerana pada musim ini T-Team memang tidak mempunyai ramai pemain yang baik namun musim depan kita ada pelapis muda apabila lapan pemain Piala Presiden kita telah bersedia untuk memberi tentangan," jelasnya.

Kelmarin, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri akan membuat pendirian berhubung komitmen pelaburannya dan masa depan skuad bola sepak negeri dan T-Team selepas meneliti hasil 'bedah siasat' punca tersingkir awal dalam saingan piala itu.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau berkemungkinan mahu membubarkan T-Team musim depan jika kelab itu gagal mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment